Skip to main content

Ke Manakah Hilangnya?

Wanita pada dasarnya diciptakan daripada tulang rusuk lelaki, maka dipertanggungjawabkan bagi lelaki untuk menjadi pelindung kepada wanita. Namun begitu, jika kita lihat pada fenomena kini, kebanyakan lelaki tidak lagi menjalankan tanggungjawab, malahan itu adalah salah satu daripada tanda-tanda akan berlakunya kiamat. Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki semakin kurang sehingga 50 wanita hanya dilindungi seorang lelaki.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah senario yang berlaku kini. Bilangan lelaki yang melebihi wanita menjadikan kaum lelaki merasakan mereka sudah tidak mampu lagi untuk menjadi pelindung kepada wanita. Dikatakan bahawa mereka telah kehilangan sifat “kelelakian”. Apa yang dimaksudkan ialah mereka tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dan bukanlah bermakna mereka telah tergolong dalam golongan “lelaki lembut”.

Paparan di media cetak dan elektronik memperlihatkan masyarakat semakin hari semakin tenat moralnya. Berita rogol semakin kerap disiarkan di televisyen atau akhbar. Sumbang mahram, bunuh, samun, ragut, dera isteri, anak dan pembantu rumah jelas menunjukkan hilangnya sifat kelelakian di negara ini. Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita sama ada dengan tidak bertanggungjawab menjaga keluarga, tidak berperanan sebagai ketua keluarga atau memperlakukan wanita dengan tindakan yang langsung tidak menjaga mereka, malah memudaratkan seperti mengeksploitasi, merogol dan menjadikan wanita alat pelepas nafsu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa terdapat kaum lelaki ini yang menganggap wanita seperti barang yang boleh dicampak-campak dan disepak terajang seperti bola.

Jika lelaki menjadi pelindung, mereka tidak akan berzina dengan wanita yang haram baginya atau merogol mereka. Kaum lelaki ini seolah-olah tidak menyedari wajib bagi mereka melindungi maruah wanita itu daripada dikasari dan dizalimi. Apatah lagi terhadap anak, cucu dan kerabat sendiri. Tidak terfikirkah dibenak akal mereka akan balasan yang bakal diturunkan oleh Allah s.w.t. Mereka juga tidak sekali-kali akan menyamun, mencuri, meragut dan membunuh wanita kerana mereka sepatutnya menjaga mereka daripada sebarang kemudaratan dan musibah. Pendek kata jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial. Ini kerana fitrah kejadian wanita itu yang lemah dan memerlukan perlindungan daripada lelaki. Tetapi apa yang berlaku kini adalah sebaliknya.

Dalam kehidupan berkeluarga, masyarakat amat memerlukan lelaki sebagai pelindung. Mereka tidak akan malas di rumah dan membiarkan isteri dan anak saja membanting tulang serta tidak akan memukul atau mendera sama ada isteri mahupun anak, tidak akan menengking, mengherdik, memaki, mencaci dan mencarut kepada wanita dan ahli keluarganya. Lelaki pelindung juga tidak akan menggadaikan maruah anak dan isterinya walau sesulit mana pun masalah yang dihadapi. Ini tidak ada lelaki yang bergelar suami atau bapa sanggup melacurkan isteri dan anak sendiri semata-mata untuk kepentingan sendiri. Alasan yang sering digunapakai untuk membayar hutang yang berlambak dan berlonggok yang dipinjam daripada “along”.

Sayangnya, lelaki pelindung semakin pupus di Malaysia hari ini. Ironinya dalam sesetengah keadaan, wanita turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki berikutan lantangnya suara sumbang golongan aktivis wanita yang ingin menyamaratakan taraf wanita dan lelaki tanpa menyedari risikonya. Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini dipegang oleh lelaki. Golongan ini tidak menyedari bahawa hal ini menjadikan kaum lelaki terasa tercabar dan membuat mereka berdendam dan natijahnya lelaki tidak mahu menjadi pelindung kepada wanita lagi.


Pada masa sama, semakin ramai wanita yang relakan diri mereka dieksploitasi oleh lelaki untuk mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata. Kewujudan pelayan pelanggan (GRO) atau pelacur dianggap bukan masalah lagi. Akhbar, majalah dan televisyen berlumba-lumba menggunakan wanita untuk melariskan produk mereka. Apakah kaitannya wanita yang menjilat aiskrim dengan ghairah sambil berbaju seksi untuk produk mereka atau apa logiknya wanita berpakaian ketat dan seksi berbaring di atas kereta di dalam iklan kenderaan?

Perkara seumpama ini tidak akan berlaku jika lelaki mempunyai sifat pelindung dan wanita pula menyedari bahawa mereka wajib dilindungi, bukan dieksploitasi atau dipergunakan. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menyedarkan lelaki mengenai tugas mereka sebagai pelindung dan proses apakah yang perlu digunakan terhadap semua lelaki di negara ini supaya sedar bahawa mereka adalah lelaki dan perlu melindungi wanita?

Dalam hal ini, lelaki Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah s.w.t dan perlunya mereka kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita serta menjadikan lelaki sebagai pelindung martabat mereka. Jika seseorang Muslim perlulah sedar bahawa dia adalah hamba Allah, maka dia wajib mengikuti perintah Allah. Jika ingin mengikut perintah Allah, dia wajib mengikuti ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki menjadi pelindung kepada wanita dan mengikut contoh model pelindung terbaik, iaitu Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiayai dan menzalimi wanita. Baginda mengajar kita melindungi wanita yang menjadi sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah Baginda, seseorang lelaki itu akan sentiasa menjadi pelindung wanita. Walaupun demikian bukanlah segalanya digalaskan di bahu lelaki sahaja, sebagai wanita juga turut menyumbang kepada permasalahan ini. Jadi, sebagai kesimpulannya, tepuk dada tanya selera.

Comments

Popular posts from this blog

Dividen Tabung Haji.